Tuesday 1 January 2019

Taiping Bandar Warisan - Perak Darul Ridzuan

Assalamualaikum.

Sebagai penutup untuk tahun 2018, kita cerita pasal bandar kesayangan ramai. Taiping Bandar Warisan. Sebagai anak jati Taiping, mesti la iolls bangga dengan bandar sendiri. Apa yang menarik sangat Taiping ni? Sebagai mukadimahnya, kita kongsikan dulu sedikit berita terbaru iaitu, Taiping tersenarai sebagai di antara 100 Destinasi Terbaik Pelancongan Eko Dunia 2018. Yeehaaa!

Taiping adalah satu-satunya bandar yang mewakili Malaysia di dalam senarai tersebut.

Nak info lebih lanjut, boleh rujuk laman web Astro Awani dan Sustainable Destinations Top 100.

Bila dah tahu, mestilah nak datang ke Taiping dan teroka sendiri keunikan dan kemenarikan bandar warisan ni. Jom cekidaut!


Pengangkutan

Bagi orang luar, ada 2 cara untuk ke Taiping menggunakan pengangkutan awam, yakni :-

1. Keretapi - ETS atau KTM turun di stesen Taiping.

Stesen kereta api Taiping


2. Bas - Ada dua stesen. Turun di stesen Kamunting atau Taiping. Stesen Kamunting merupakan stesen utama di Taiping, tapi jika hotel/penginapan anda di pekan Taiping, elok turun di stesen Taiping je. Tapi ada bas tak turun di stesen Taiping ye, terus ke stesen Kamunting.

Terminal Bas Ekspres Kamunting, Perak


Dari stesen bas, ada bas untuk dalam bandar, orang kampung iolls panggil Intercity Bus..hewhew
Antaranya Rapid Kamunting dan beberapa bas lama masih digunakan untuk jalan yang tidak dilalui bas rapid.

3. Kereta - Bagi yang berkenderaan sendiri sama ada motor atau kereta (basikal pun bolehhh nak), anda mempunyai 2 pilihan Exit jika melalui lebuhraya. Exit di Changkat Jering jika dari Selatan, dan Exit di Taiping Utara jika dari arah Utara.


Aktiviti dan Tempat Lawatan

1. Bukit Larut (Maxwell Hill)

Bukit Larut merupakan salah satu tempat warisan dan sejarah yang ada di bandar ini. Selain itu, ia juga merupakan destinasi popular jungle trekking dan mendaki bukit.

Dari segi sejarahnya, Bukit Larut adalah tempat peranginan tanah tinggi yang pertama dan tertua di Malaysia. Ia dibangunkan pada tahun 1870 dan diberi nama Maxwell Hill sempena nama pembantu residen British pertama di Perak, George Maxwell.


Kaki bukit (Pintu masuk) Bukit Larut a.k.a Maxwell Hill


2. Taman Tasik Taiping

Seterusnya, Taman Tasik Taiping juga dikenali sebagai taman tertua di Malaysia yang ditubuhkan sewaktu pemerintahan British di Tanah Melayu, taman ini sememangnya satu tempat yang sangat menenangkan, mendamaikan jiwa dan mempunyai pemandangan yang sangat indah.

Taman Tasik Taiping terletak berdekatan dengan Bukit Larut dan Zoo Taiping, jadi sekali harung je boleh sampai 3 tempat ni.. Taman Tasik Taiping ini pada asalnya merupakan tapak perlombongan bijih timah yang terbiar sebelum dijadikan taman awam pada tahun 1880.  

Pokok-pokok ni lagi tua dari kita semua ye hadirin hadirat sekalian. Sila hormati warga emas, jagalah kebersihan dan keindahan Taman Tasik Taiping.

3. Burmese Pool

Burmese Pool ni salah satu tempat perkelahan dan mandi manda air terjun yang popular terletak di kaki Bukit Larut. Lepas penat hiking apa lagi, terjun sungai la 😎

Nak datang berkelah, kena plan betul-betul sebab memang ramai datang sini terutamanya hari minggu dan cuti-cuti sekolah.

4. Kilang Arang Kuala Sepetang

Salah satu lokasi pilihan kalau korang sememangnya peminat sejarah dan warisan. Industri arang ni merupakan industri tertua di Kuala Sepetang. Penghasilan kayu arang menggunakan kayu bakau masih lagi menggunakan kaedah lama. Boleh datang tambah ilmu. 

Lagipun kilang arang ni memang port popular untuk bergambar, memang suasana klasik dan lain dari yang lain. Pengantin baru pengantin lama pun bergambar sini!

5. Spritzer Eco Park

Nak rehat tapi nak main golf? Spritzer Ecopark tempat yang sesuai dan melegakan kepala di samping bermain golf.. Dalam ni ada taman golf mini yang berbayar. RM12 untuk dewasa, RM8 untuk kanak-kanak.

Bagi yang tak minat golf? Boleh jalan-jalan sambil menghirup udara segar. Tempat ini nyaman, aman dan ke dalam dari jalan besar. Jadi sesuai untuk anda yang nak berehat. Masuk percuma. yang nak melawat Kilang Spritzer tengok proses air Spritzer dibotolkan? Boleh. Tapi datang awal dan pastikan anda ada pada masa di bawah. Masuk percuma.

Isnin-Jumaat : 11.00 pagi - 3.00 petang
Sabtu : 11.00 pagi

Spritzer Ecopark


6. Zoo Taiping & Night Safari

7. Muzium Perak

8. Trong Hot Spring

9. Kilang Kopi Antong (Aun Tong Coffee Mill)


Tempat Makan Popular/Best

1. Mee Udang Kuala Sepetang

Kuala Sepetang ni dulu-dulu nama asalnya Port Weld, tapi sampai sekarang jangan konfius pulak kalau orang masih sebut-sebut Port Weld ye.. ni namaya anak jati Tepen

Port Weld adalah Kuala Sepetang, Kuala Sepetang adalah Port Weld.. gittew

Ada banyak gerai Mee Udang sekitar Kuala Sepetang ni, boleh singgah mana-mana yang berkenan, yang penting udang-udang yang digunakan memang segar! Ada juga gerai yang lama diusahakan sejak tahun 1956 pun ada. Memang bandar warisan bebenor.

2. Kuey Teow Doli

Restoran Doli ini terletak betul-betul di tengah bandar Taiping. Landmark Maybank Taiping, dah dekat la tu. Menu utama haruslah Kuey Teow Goreng. Sejarahnya, dulu-dulu dijual menggunakan kereta tolak je dekat tepi jalan. Yang membuatkan Kuey Teow ni popular kerana aroma dan rasa sedap bila dibungkus menggunakan daun.

Sekarang dah moden, makan atas pinggan..

3. Restoran Bismillah

4. Ansari Famous Cendol

5. Wan Ikan Bakar Kamunting

6. Nasi Lemak Bukit Drummond - Atau lebih dikenali dengan Bukit Doraemon.



INFO Kaki :
1. Taiping merupakan bandar paling lembap di Malaysia kerana mengalami penurunan hujan yang kerap.
2. Salah satu kawasan tadahan hujan terletak di Bukit Larut
3. Kebanyakan orang tempatan Taiping menggunakan slang/bahasa utara seperti Kedah & Penang.
4. Taiping ni kerap hujan, jadi yang bercadang melawat/melancong ke Taiping disarankan bawa payung & baju hujan sebagai persediaan.
5. Jika bercadang untuk mendaki Bukit Larut, seeloknya anda memulakan pendakian awal pagi seawal 6 pagi atau selepas Subuh bagi Muslim. Tempoh pendakian sekitar 3-5 jam untuk ke puncak. Pandai-pandai la bajet masa. Nak tengok sunset, boleh mula awalllll pagi, dekat atas nanti ada banyak je kemudahan macam tandas, surau, etc. Jangan risau, Malaysia masih aman...hehehe



Itu sahaja. Adios