Sunday 31 December 2023

Hidup Ala Gelandangan Sekejap

Assalamualaikum

Akhir tahun 2023
Rasa nak berkongsi pasal 1 kisah aku sendiri berada di salah satu titik rendah dalam hidup aku. Pada masa tu, aku rasa berada sangat rendah dalam hidup aku. Paras kosong.

Aku tak cerita dekat sape-sape pun - sebab memang tak nak bagitau, taknak orang lain risau atau kesian, tapi memang hakikatnya situasi tu memang sebuah keadaan yang perlu dikasihani dan dikesiankan.
Hadap sorang-sorang - usaha sampai naik ke titik atas sedikit

Masa tu tahun 2018, umur aku 28 tahun

Aku planning pindah bilik sewa yang murah sikit,
Dari Kajang dapat murah dekat Bangi,
Dah angkut semua barang dari Kajang, dah ambik pun kunci bilik sewa dekat Bangi tu, sekali penyewa lama cakap bilik tu penyewa bilik lain dah booking untuk kawan dia, tanpa beritahu dekat orang lain.
Aku yang dah keluar dari bilik sewa kajang tu, dah angkut segala barang semua dalam kereta, tak tahu nak buat apa. Dia mintak balik kunci, barang yang dah separuh aku pindah, keluarkan balik masuk dalam kereta. 

Yang peliknya, aku tak pertikaikan sikit pun, tak pertahankan pun 'hak' aku, hak first come first serve, yang dah dapat kunci sebelum orang lain.

Masa ni memang dah takde tempat nak tuju dah. Dengan barang penuh kereta, aku bawak kereta kehulu-kehilir takde tujuan.

Sampai la, masuk waktu Zohor, aku nampak 1 masjid dan singgah sekejap. Dalam hati, ingat nak bersihkan diri sikit-sikit, so bawak berus gigi je masuk tandas. Tapi Allah nak bagi lebih. Bukan kebetulan, memang Allah lorongkan aku masuk masjid tu untuk solat bersebab.

Maha Suci Allah. Masjid tu ada kemudahan tandas dan tempat mandi yang banyak dan luas. Dengan kereta dah penuh isi rumah, aku pun apa lagi, ambik segala barang mandian dan baju untuk ditukar sekaligus bersihkan diri tak macam planning asal aku sekadar nak gosok gigi je.

Aku lepak lama dalam masjid tu, tengah pikir nak buat apa, nak pergi mana dengan barang penuh kereta. Last sekali, aku mintak tumpang bilik sewa adik aku dekat Kampung Baru, KL. Memandangkan dia pun menyewa bilik kecik, aku usahakan cari secepat mungkin bilik sewa sekitar KL tu jugak. Tapi aku tak cerita pun situasi sebenar aku dekat dia.

Dalam masa yang sama, aku dapat tawaran kerja dari penyewa lama, dia rekemen nama aku untuk jawatan kosong tu, dia rasa kesian dengan aku. Alhamdulillah, dapat dan aku terima. Aku pergi kerja dengan kereta penuh barang rumah selama seminggu. Dapat bilik sewa, terus pindah masuk dan kurangkan beban kereta aku.

Masa ni memang pokai habis. Sementara tunggu gaji, aku selalu jugak mintak adik aku belanja makan dan kongsi makan dengan dia. Rezeki yang paling mahal aku dapat dalam hidup - Keluarga yang tak pernah berkira.

Aku ambik masa berbulan jugakla untuk stabilkan diri aku balik yang huru hara, terutamanya dari segi kewangan. Tapi dari segi emosi dan fizikal, Allah bagi kelebihan aku boleh survive, tak penat, makan sikit pun rasa cukup, tak mengidam pun makan besar-besar, dapat rakan sekerja yang baik. Dan tempat kerja yang dekat dari bilik sewa baru aku tu.

Rezeki lebih, aku decide tukar kerja baru, dan pindah rumah sewa baru. Dan kedua-dua yang baru ni, aku dapat adalah yang terpaling menenangkan dan mendamaikan hidup aku.

Mungkin hadiah sebab tak menangis bila jatuh.



Wednesday 15 November 2023

Pernah Separa Bankrap

Assalamualaikum.

Cerita buang belakang. Aku memang ingat semua benda dalam hidup aku, tambah-tambah yang banyak jalan ceritanya dalam satu hari. Yang ini, sekadar nak memorikan salah satu saat paling rendah dalam hidup aku. Aku sejenis tak bercerita langsung kesusahan aku dekat orang lain. Jadilah apa pun, memang suka hadap sorang-sorang.

Once upon a time, ada seorang manusia yang:-

Menganggur - dah apply banyak tempat belum ada rezeki
Duit simpanan takde
Hutang bank kereta - tertunggak
PTPTN - ni tak payah cerita la memang dasar tertunggak
Kereta tak servis setahun - Tapi bawak kehulu-kehilir

Dalam masa yang sama;

Buat kerja sementara sebelum dapat kerja tetap
Pagi kerja butik tudung - lipat tudung masuk plastik
Petang sampai malam kerja pasar malam - kerja dengan orang jual keropok lekor & jual air bungkus
Pagi sarapan kopi kosong cicah biskut
Malam makan makanan pasar malam - lebihan makanan tak terjual bungkus bawak balik
Minyak kereta - memang isi cukup-cukup untuk bergerak je
Dapat duit - bayar sewa bilik, bayar kereta jumlah separuh dari biasa
Aku bayar walaupun sikit untuk elakkan kereta aku kena tarik. Itu je satu-satunya kenderaan yang aku ada untuk pergi kerja
Setiap hari bank call remind aku, bagitahu payment tak cukup

Tapi macam mana boleh survive,

Tak tahu - wallahualam
Tak keluar air mata setitik pun, hidup macam biasa - Allah sibukkan aku
Tak sempat nak sedih-sedih, nak mengenang nasib ke
Allah suruh proceed je apa yang ada depan mata. Ujian ni kecik je nak dibandingkan dengan orang lain.
Aku jalan terus. Hadap je apa yang ada.

Buat 2 kerja, dari pagi sampai malam, walaupun bayarannya tak mampu pun untuk menampung hidup dan hutang aku masatu, teruskan jugak. Tawakal, janji ada masuk sikit.

Nak cakap,
Kau susah ke kau senang ke
Tawakal
Tak payah susah hati
Rezeki semua makhluk Allah dah tulis siap dah semua
Dari kau dalam perut mak lagi
Sampai la ke liang lahad
Dah ada jalan cerita dia

Walaupun perangai aku ni kadang tak semenggah, tak baik mana pun, ada je yang menyampah, ada yang suka, ada yang cari bila ada keperluan. Aku lantak kan aje. Ada hati nak jadi muslimah terbaik walaupun kadang-kadang kelaut. Buat-buat pengsan jela.

Dengan segala kepokaian aku tu, huru hara,
Beberapa bulan lepas tu, entah macam mana aku sekadar plan (main-main je) nak pergi Korea Selatan dan dah sampai pun Korea Selatan tu buat pertama kalinya masa tahun 2017. Bulan September. Sempatla merasa musim luruh ala-ala Autumn In my Heart gittew.

Bayangkan sebelum ni loan kereta pun bayar separuh, boleh sampai Korea Selatan mat. Dah tertulis. Sebab tu kena tenang-tenang je (walaupun gelabah ayam)

Puas berjalan dekat Korea balik Malaysia, cari kerja, sambung balik kehidupan normal aku.

Episod huru-hara menanti tahun 2018 pulak.

Sementara tu,
Masuk pukul 9 balik pukul 6 macam biasa.
Hadap jem.
Carut sikit-sikit.


Thursday 31 August 2023

Hadiah Ke -33

Assalamualaikum.

Aku lahir 27 Julai 1990
Masa birthday aku ke yang 33, tahun 2023 ni
Aku dapat hadiah yang lain dari yang lain, yang paling tak terjangka
Pada aku hadiah ni istimewa, sebab pemberi hadiah ialah dari pemilik segala alam.

3 hari lepas birthday aku, kucing jalanan blok aku yang selalu aku bagi makan depan rumah, (aku panggil dia Bicing) datang beranak dekat rumah aku. Bila aku nampak dia bunting tu, saje la aku sembang-sembang dengan dia, cakap dengan dia, kalau Bicing nak beranak nanti datang la rumah. Beranak kat rumah selamat sikit.

Jadi, 3-4 hari sebelum dia beranak tu, dia betul-betul datang dan lepak dalam rumah aku dah. Tido je tak kacau aku pun. Bila aku nak pergi kerja, aku suruh la dia keluar, sebab dalam rumah takde makanan, takde pasir dia nak berak kencing ke kan. Tapi dia buat bodo je. Stay je dalam rumah. Yang bagusnya, dia tak membuang merata pun, aku balik kerja dia tengah sedap tido je. Aku usap-usap perut dia, gosok-gosok dia, tanya bila due. Walaupun takde jawapan yang sahih, aku teruskan bersembang dengan Bicing.

Sebulan sebelum beranak, memang selalu datang lepak rumah. Sofa tu dah macam dia punya

28 Julai 2023 - 2 hari sebelum Bicing beranak, aku ada mimpi. 3 ekor anak kucing main-main dalam rumah aku. Dekat ruang tamu. Aku tanya la Bicing, dalam perut Bicing ada 3 ekor baby ke? Macam biasa jawapan dia nak tak nak je. Mimpi tu rasa macam jelas sangat. Sampai sekarang pun aku ingat lagi.

30 Julai 2023 - 3 hari selepas birthday aku. Bicing selamat beranak kan 3 ekor anak kucing yang comel-comel. Jumlahnya 3 ekor sama macam dalam mimpi. Warna hitam, oren, dan tabby. Aku namakan diorang dengan Oyo, Oyen & Adik

Bicing ni pandai, dia beranak malam, esok paginya aku pergi check, elok bersih je semua anak-anak dia. Uri pun dia dah makan siap dah. 

Umur 2 hari - Bicing susukan anak dia. Duduk bawah rak.


Aku pun terus sediakan bekas pasir, bekas makan & air standby siap-siap dalam rumah. Bicing dah sah jadi housemate aku, bersekali dengan anak-anak dia. Tak payah bayar sewa Bicing, semua ditanggung.

Dari hari 3 beradik tu lahir, aku jadi sibuk. Daripada balik kerja boleh singgah berlama-lama dekat shopping mall, sekarang kena balik rumah terus, Nak pergi mana-mana pun kena sampai rumah dulu.

Umur 3 minggu - Dah pandai jalan jauh. Berkumpul dekat bucu dinding


Dulu beli makan minum untuk diri sendiri je, sekarang kena pikir makan minum pasir diorang 24 jam. Setiap hari aku akan cek bekalan dan stok diorang sentiasa ada. Bekalan makanan aku kadang-kadang kosong je dalam peti ais tu tak pulak aku kesah kan. Kadang sampai berminggu-minggu kosong baru topup baru. Lain macam kena sihir dengan bulu-bulu kehidupan ni.

Umur 4 minggu - Suka sangat berkumpul tido dalam penyodok sampah ni. Geram je tengok.

 “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”. (Riwayat Muslim: 2245)

Semoga segala dosa aku dan ahli keluarga aku diampunkan Allah.

Alhamdulillah
'Ala Kulli Haal


Saturday 13 May 2023

Kerja Di Singapura

Assalamualaikum.

Bila sebut je kerja dekat Singapore ni kan, ramai la yang cakap nak kerja sana jugak, duit berkepuk, ye la 3 kali ganda duit Malaysia kot. Ni memang betul, dan aku salah seorang dari yang ramai tu, yang rambang mata nampak duit banyak terus nak jugak.

Ni pengalaman aku kerja Singapore masa tahun 2022-2023. Seronok? Ye seronok, masa akhir bulan.

Sementara tunggu masuk kerja baru ni, ada la masa sikit nak menaip menulis dekat sini. Bukti pernah kerja luar negara (dengar pun macam gah kan) Padahal jiran sebelah je pun. hoho 

Nak kerja sana - ikut prosedur yang betul.

Untuk rakyat Malaysia yang nak kerja dekat Singapore ni, kita ada 1 kelebihan dari segi quota tau yang Singapore bagi. Jadinya, kita mohon kerja dekat mana-mana syarikat dekat Singapore ni, kemungkinan besar untuk dapat tu ada, dibandingkan dengan warga asing lain. Dekat sana memang ramai warga asing bekerja. Tapi kalau ada rekod buruk, kirim salam jela, kat sana akan strict sikit, bukan suka-suka hati je.

Aku cari iklan kerja kosong Singapore, dan berminat dengan salah satu kerja dekat Changi Airport. Kerja bahagian katering kapal terbang.

Mohon
Hantar resume
Dipanggil interview
Lulus
Pergi Singapore buat medical check-up
Result medical pass - baru buat permit kerja
Pergi MOM Singapore buat permit & thumbprint
Dah setel, baru masuk kerja

Daripada sesi interview sampailah ke nak buat permit kerja dan bila tarikh masuk kerja, memang company yang akan uruskan, diorang yang akan aturkan bila kena buat semua prosesur kat atas tu. Dah siap ada appointment lagi. Aku pergi je, follow the flow.

Masa ni dah setel medical check-up. Hospital area Bugis, so jenjalan jap. Tersengih sebab membayangkan SG dollar yang bakal dalam genggaman..hohohoh

Ini pun memang first time aku masuk Singapore. Memang tak tahu menahu jalan ke public transport dia macam mana ke. So, aku ikut tips-tips dari orang ramai, ikut je orang naik bas diorang beratur kat mana naik kat mana turun mana kau pun turun.

Tapi sebab aku tak berapa nak yakin, aku tanya sorang kakak ni mintak nak ikut dia cara masuk sebab dia pun ondeway nak pergi kerja. Dia suruh je aku ikut dia, ajar cara masuk semua apa, balik nanti nak naik bas apa pun dia siap ajar lagi. 

Senang cerita nak masuk Singapore ni, senang ikut orang yang nak pergi kerja sana jugak. Memang setiap hari ramai orang ye dekat immigration Johor Bahru tu. 

Sebulan pertama memang agak struggle dari segi nak jaga masa dan nak keluar masuk border Malaysia-Singapore. Sebab tak biasa dan aku bukan nak pergi melancong, pergi kerja, ada masa nak kena jaga. Dan aku pun tak mahir lagi bas atau public transport mana yang boleh betul-betul sampai depan tempat kerja aku. Jadinya, memang kena banyak bertanya. Kat tempat kerja pun ramai staff yang berulang-alik JB-Singapore, so diorang share jalan mana bas apa nak guna semua. Setel.

Ondeway pergi kerja shift malam. Naik bas. Penat nak mampus. Tapi boleh sinyum sebab dalam kepala sudah ada SG dollar... kalau RM muka aku dah ketat kot

Dekat Singapore ni ramai je orang-orang Malaysia kerja sana. Bersepah. Tak rasa sangat kalau ada nak cakap dipinggirkan ke anak perantauan ke language barrier ke, pergi mana-mana pun orang-orang kita jugak.

Walaupun macam sama, ada masa jugak tetiba aku tersentap (masa ni tak sedar diri), cakap aku ni foreign worker (padahal memang pun). Dah rasa macam bangla yang kerja separuh mati tu. Baru tahu perasaan diorang bila dapat layanan second class sebagai foreign worker ni. kahkah

Akhir bulan dapat gaji, hilang segala penat bangun 3-4 pagi, beratur panjang dekat immigresen-kastam semua, jalan kaki laju-laju, kejar bas, berebut naik last bas tengah malam. Belum lagi setiap kali public holiday kena kerja, join sekaki dengan orang-orang Singapore yang nak shopping dekat Malaysia ni ha. Jalan kaki dari JB ke Singapore pun pernah sebab bas penuh sangat. Belum lagi nak cerita bab yang bawak kereta masuk Malaysia macam Formula 1 tu.

Tak pernah merungut.
Sebab semua benda ni pengalaman.
Nak buat lagi?
Tak kot, dah puas pegang duit
Hutang pun dah setel
Pokai macam mana pun
Kerja jela dekat Malaysia ni
Akhir tahun boleh je beli tiket pergi obersea

Sekarang ni,
Kalau nak masuk Singapore, 
Pejam mata pun dah tahu naik bas apa
Riak