Thursday 31 August 2023

Hadiah Ke -33

Assalamualaikum.

Aku lahir 27 Julai 1990
Masa birthday aku ke yang 33, tahun 2023 ni
Aku dapat hadiah yang lain dari yang lain, yang paling tak terjangka
Pada aku hadiah ni istimewa, sebab pemberi hadiah ialah dari pemilik segala alam.

3 hari lepas birthday aku, kucing jalanan blok aku yang selalu aku bagi makan depan rumah, (aku panggil dia Bicing) datang beranak dekat rumah aku. Bila aku nampak dia bunting tu, saje la aku sembang-sembang dengan dia, cakap dengan dia, kalau Bicing nak beranak nanti datang la rumah. Beranak kat rumah selamat sikit.

Jadi, 3-4 hari sebelum dia beranak tu, dia betul-betul datang dan lepak dalam rumah aku dah. Tido je tak kacau aku pun. Bila aku nak pergi kerja, aku suruh la dia keluar, sebab dalam rumah takde makanan, takde pasir dia nak berak kencing ke kan. Tapi dia buat bodo je. Stay je dalam rumah. Yang bagusnya, dia tak membuang merata pun, aku balik kerja dia tengah sedap tido je. Aku usap-usap perut dia, gosok-gosok dia, tanya bila due. Walaupun takde jawapan yang sahih, aku teruskan bersembang dengan Bicing.

Sebulan sebelum beranak, memang selalu datang lepak rumah. Sofa tu dah macam dia punya

28 Julai 2023 - 2 hari sebelum Bicing beranak, aku ada mimpi. 3 ekor anak kucing main-main dalam rumah aku. Dekat ruang tamu. Aku tanya la Bicing, dalam perut Bicing ada 3 ekor baby ke? Macam biasa jawapan dia nak tak nak je. Mimpi tu rasa macam jelas sangat. Sampai sekarang pun aku ingat lagi.

30 Julai 2023 - 3 hari selepas birthday aku. Bicing selamat beranak kan 3 ekor anak kucing yang comel-comel. Jumlahnya 3 ekor sama macam dalam mimpi. Warna hitam, oren, dan tabby. Aku namakan diorang dengan Oyo, Oyen & Adik

Bicing ni pandai, dia beranak malam, esok paginya aku pergi check, elok bersih je semua anak-anak dia. Uri pun dia dah makan siap dah. 

Umur 2 hari - Bicing susukan anak dia. Duduk bawah rak.


Aku pun terus sediakan bekas pasir, bekas makan & air standby siap-siap dalam rumah. Bicing dah sah jadi housemate aku, bersekali dengan anak-anak dia. Tak payah bayar sewa Bicing, semua ditanggung.

Dari hari 3 beradik tu lahir, aku jadi sibuk. Daripada balik kerja boleh singgah berlama-lama dekat shopping mall, sekarang kena balik rumah terus, Nak pergi mana-mana pun kena sampai rumah dulu.

Umur 3 minggu - Dah pandai jalan jauh. Berkumpul dekat bucu dinding


Dulu beli makan minum untuk diri sendiri je, sekarang kena pikir makan minum pasir diorang 24 jam. Setiap hari aku akan cek bekalan dan stok diorang sentiasa ada. Bekalan makanan aku kadang-kadang kosong je dalam peti ais tu tak pulak aku kesah kan. Kadang sampai berminggu-minggu kosong baru topup baru. Lain macam kena sihir dengan bulu-bulu kehidupan ni.

Umur 4 minggu - Suka sangat berkumpul tido dalam penyodok sampah ni. Geram je tengok.

 “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”. (Riwayat Muslim: 2245)

Semoga segala dosa aku dan ahli keluarga aku diampunkan Allah.

Alhamdulillah
'Ala Kulli Haal